PUTRAJAYA, 7 November - Sistem pendidikan negara perlu memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir secara kritis, berhujah dan menyuarakan pandangan berasaskan ilmu bagi melahirkan masyarakat yang berani menegakkan kebenaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata seiring kemajuan negara, sistem pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada peperiksaan dan hafalan semata-mata, sebaliknya perlu bebas daripada cara fikir terjajah dan jumud.
“Jumud bermaksud terlalu taasub dengan kaedah lama serta enggan menerima pembaharuan dan teknologi baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia kini menjadi tumpuan dunia hasil pelaksanaan dasar transformasi digital berteraskan nilai, selain muncul sebagai hab serantau dalam pembangunan semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau menegaskan, penggunaan AI adalah keperluan pada era kini, namun mesti dibangunkan berasaskan nilai kemanusiaan.
“AI adalah satu kemestian. Kalau tidak mahu AI, kita jumud dan terbelakang. Tetapi AI bukan untuk menteknologikan manusia, sebaliknya memanusiawikan teknologi ini,” katanya.
Katanya, kemajuan teknologi hanya akan menjadikan Malaysia negara yang hebat sekiranya disertai nilai kemanusiaan berasaskan prinsip keadilan dan kasih sayang, bukannya melalui politik kebencian atau budaya mencerca.