fb fb fb fb fb

PM tegur pihak lantang kritik tanpa faham kandungan ART 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada penutup Festival Idea Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) /BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan segelintir pihak yang mengkritik Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) dengan Amerika Syarikat (AS) tanpa memahami kandungan sebenar perjanjian itu.

Datuk Seri Anwar berkata, kritikan melulu tanpa asas hanya mencerminkan tahap perbahasan politik negara yang masih rendah serta tidak berteraskan ilmu dan kefahaman mendalam terhadap isu berkenaan.

“Kadang-kadang rakan-rakan di Parlimen bila ada perjanjian dengan Amerika Syarikat, terus kata kita mengalah, kita dijajah. Dah baca ke belum? Faham ke tidak? Ini jadi masalah. Tahap perdebatan itu rendah.

“Saya fikir kadang-kadang pemimpin-pemimpin mahasiswa itu lebih hebat daripada sebahagian Ahli Parlimen yang ada,” katanya ketika berucap pada Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di sini hari ini.

Perdana Menteri turut menegaskan pemimpin politik perlu menilai sesuatu perjanjian berdasarkan manfaat kepada rakyat dan negara, bukannya menimbulkan sentimen kebencian atau prejudis yang mengelirukan.

Katanya, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dagangan dan penyelidikan dengan negara luar secara bijaksana bagi memperkukuh kedudukan ekonomi serta akademik negara.

“Mesyuarat ASEAN baru-baru ini menunjukkan semua negara berminat untuk melabur, meningkatkan perdagangan, penyelidikan dan kerjasama universiti. Ini menunjukkan Malaysia semakin diyakini,” katanya.

SITI NOORAIN ABDULLAH