fb fb fb fb fb

Malaysia, Poland komited perkukuh kerjasama ASEAN–EU

Malaysia, Poland komited perkukuh kerjasama ASEAN–EU / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 10 Jun – Malaysia dan Poland menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU), selaras dengan peranan masing-masing sebagai Pengerusi ASEAN dan Presiden Majlis EU.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan yang berterusan antara kedua-dua pihak diyakini mampu memacu hubungan antara rantau ke arah perkongsian strategik jangka panjang.

“Isu mengenai ASEAN-EU, kita membincangkan EUDR (Peraturan Penebangan Hutan EU), perjanjian perdagangan dan juga rundingan berkaitan.

"Saya tentu gembira kerana sejak Presiden Andrzej Duda memegang jawatan Presiden Majlis EU, kita menyaksikan proses perbincangan yang lebih pantas antara ASEAN dan EU, termasuk mengenai perjanjian perdagangan bebas,” katanya dalam sidang media bersama Presiden Poland di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, walaupun rundingan tersebut telah berlarutan selama beberapa tahun akibat keutamaan yang berbeza, perkembangan dalam tempoh setahun kebelakangan ini menunjukkan kemajuan yang ketara.

“Bagi saya, Poland dan EU kekal sebagai rakan strategik yang sangat penting, bukan sahaja untuk Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan, tetapi juga untuk keseluruhan ASEAN,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN