KUALA LUMPUR, 5 November - Kerajaan dalam perancangan meneruskan pembinaan jajaran Lebuhraya Pesisir Pantai (WCE) dalam memperkukuh jaringan infrastruktur negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jajaran WCE itu bakal menghubungkan Selangor sehingga ke Pontian, Johor selaras dengan pengumuman menerusi Belanjawan 2025.
Tambahnya, jajaran WCE kini hampir siap sepenuhnya sehingga ke Banting, Selangor dan akan disambung ke arah selatan yang dijangka mengurangkan kesesakan laluan.
Menyentuh mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur–Singapura yang dibatalkan, beliau menyifatkan keputusan itu sebagai satu kerugian besar kepada rakyat.
"Sekarang ini, kerja-kerja awalan sedang dijalankan. Jika projek ini diteruskan dengan baik, saya percaya masalah kesesakan jalan raya dapat dikurangkan.
"Sebenarnya, kerajaan terdahulu telah merancang projek High Speed Rail (HSR) yang menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur — hanya mengambil masa kira-kira 90 minit perjalanan. Namun begitu, kerajaan pada waktu itu yang diketuai oleh Yang Berhormat Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah membatalkan projek HSR tersebut," katanya ketika menjelaskan dalam sesi sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Jelas beliau lagi, kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak 100 juta dolar Singapura kepada pihak Singapura akibat pembatalan kontrak antarabangsa itu dan berharap ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Datuk Seri Ahmad turut memaklumkan, pelbagai projek naik taraf jalan dan lebuh raya di Johor sedang dilaksanakan.
Usaha tersebut bagi menyokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSEZ) yang merangkumi sembilan kawasan utama termasuk Forest City, Pengerang dan Iskandar Puteri.
Pelaksanaannya sejajar dengan kedudukan Johor sebagai negeri yang menerima pelaburan asing tertinggi di Malaysia.
Sekali gus, menyokong pertumbuhan pesat Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura.