fb fb fb fb fb

Cip FPGA pertama buatan Malaysia, sasar tembusi pasaran tahun depan

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bercakap dalam sidang media di KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang/RTM

GEORGE TOWN, 5 November - Pulau Pinang berjaya membangun dan mengaktifkan cip Field Programmable Gate Array (FPGA) proprietari pertama di negara dan di Asia Tenggara.

Projek itu dibangunkan syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan, Silicon X di bawah inisiatif Penang Silicon Design @5km+ (PSD@5km+).

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata ia jelas membuktikan keupayaan jurutera tempatan setanding antarabangsa dalam ekosistem semikonduktor.

Selain mengukuhkan lagi usaha Pulau Pinang untuk memacu penghasilan cip berjenama "Made by Malaysia".
 
"Pulau Pinang juga berbangga menampung para inovator seperti SiliconX yang berjaya merealisasikan aspirasi kami untuk mewujudkan generasi pertama cip "Made by Malaysia. Direka, dibangunkan, dan dipacu dari Pulau Pinang." kata beliau dalam sidang media di KOMTAR, Georgetown.

"Pencapaian ini bukti keupayaan Pulau Pinang untuk menyokong inovasi bertaraf tinggi dan memperkukuhkan kedudukan negara dalam rantaian nilai semikonduktor global selaras dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS)," tambah beliau lagi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Aziz Bakar.

Sementara itu, Pengarah Urusan Silikon X, Ng Meng Wah berkata pengeluaran cip dalam kuantiti yang banyak dijangka pada separuh tahun pertama 2026, dengan sasaran nilai jualan RM200 juta hingga RM300 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, Chow berkata PSD@5km+ terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab reka bentuk lC negara dengan kemasukan dua syarikat tempatan menyertai program inkubasi di Ruang Penyelidikan dan Inkubasi Silikon @ GBS TechSpace.

Syarikat tersebut terdiri daripada Channel Microsystem dan Tenasic Technology, sekaligus menjadikan tujuh syarikat tempatan ditempatkan di ruang tersebut.

"Kedua-dua syarikat ini akan menerima sokongan berterusan sama seperti kumpulan pertama iaitu subsidi bagi kos sewaan, utiliti, perkhidmatan Multi-Project Wafer (MPW), ujian dan pembangunan bakat. Kami menantikan untuk menyaksi pertumbuhan kedua-dua syarikat ini serta sumbangan kepada ekosistem reka bentuk IC di Pulau Pinang," kata Chow di sini.

Setakat ini, lebih RM5 juta telah disalurkan kepada peserta kumpulan pertama sebagai usaha memperkukuh sektor reka bentuk IC tempatan dan memacu pembangunan bakat dalam industri semikonduktor negara

Kemasukan syarikat tersebut menunjukkan kemajuan ketara ke arah sasaran Strategi Semikonduktor Negara (NSS) yang mahu mewujudkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia yang khusus dalam reka bentuk IC.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ