JOHOR BAHRU, 5 November - Bekalan air yang terjejas di Johor Bahru, Kota Tinggi, Gelang Patah, Kulai dan Pontian melibatkan hampir 1.2 juta isi rumah, susulan pencemaran Sungai Johor, dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastukur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata setakat ini 99 peratus pengguna telah menerima bekalan air manakala 2, 400 akaun masih terjejas melibatkan dua taman perumahan di Johor Bahru.
"Sebenarnya pengguna di taman berkenaan sudah mula menerima air cuma prosesnya mengambil masa disebabkan tekanan air yang rendah," jelasnya kepada media selepas meninjau bekalan dan tangki air di Senai.
Beliau memaklumkan 43 tangki air turut digerakkan ke kawasan terjejas dengan sokongan daripada Syarikat Air Melaka dan Syarikat Air Negeri Sembilan bagi menampung keperluan penduduk.
Pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor ,Jumaat lalu berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti operasi selepas paras kekeruhan meningkat kepada 37, 400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.