PUTRAJAYA, 5 November - Seramai 4,443 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 di seluruh negara dari 12 hingga 24 November ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, peperiksaan berkenaan akan dijalankan di 135 pusat peperiksaan dengan seramai 852 petugas dilantik bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.
Semua calon dinasihatkan supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod serta nama kertas peperiksaan, selain mematuhi semua arahan yang ditetapkan.
Jadual waktu peperiksaan STAM 2025 boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.
Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan, serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan bagi memastikan kelancaran peperiksaan.
KPM sentiasa cakna terhadap keselamatan dan kebajikan calon, serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) sepanjang peperiksaan berlangsung.
Langkah kesiapsiagaan dan mekanisme tindakan sewajarnya telah disediakan, termasuk kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan peperiksaan dapat berjalan dengan lancar dan teratur.
Calon yang terkesan akibat bencana perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing atau menghubungi bilik gerakan LP atau JPN.