fb fb fb fb fb

APM perkukuh jalinan kerjasama media hadapi musim bencana

APM perkukuh jalinan kerjasama media hadapi musim bencana

PUTRAJAYA, 5 November - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan menganjurkan latihan kesiapsiagaan bencana selama tiga hari bermula 4 November bagi memperkukuh kerjasama antara agensi penyelamat dan pengamal media menjelang musim Monsun Timur Laut.

Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, berkata latihan yang melibatkan aktiviti pengendalian bot dan 'water confident' itu memberi pendedahan kepada media mengenai peranan dan langkah keselamatan semasa membuat liputan di kawasan bencana.

"Apabila agensi penyelamat dan media saling mengenali serta memahami peranan masing-masing, penyampaian maklumat semasa bencana dapat dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.

Wakil media, Ain Shafiqah Zaki, yang menyertai latihan berkenaan, berkata pengalaman itu membantu meningkatkan keyakinan ketika bertugas di lapangan.

“Latihan ini sangat membantu, terutama jika kami perlu membuat liputan banjir. Sekurang-kurangnya kami tahu asas keselamatan dan tidak panik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil media, Asyraf Zuhairie, menyifatkan program itu sebagai peluang untuk mempelajari kemahiran 'survival' yang penting, bukan sahaja kepada media, malah kepada masyarakat umum.

"Kita juga memerlukan satu kemahiran survival seperti membuat liputan yang melibatkan bencana ini adalah antara ilmu yang memang sangat berguna.

"Terutamanya bila melibatkan bencana mesti ada keadaan yang mencemaskan, yang memerlukan kita kekal tenang.

"Pada masa itu dan tadi antara intipati kita dapat adalah mengekalkan ketenangan lebih-lebih lagi kalau kita terlibat dalam bencana yang melibatkan air," katanya.

Kesiapsiagaan bencana ini juga perlu menjadi ilmu asas untuk semua, supaya kekal tenang apabila berdepan situasi kecemasan.

Latihan kesiapsiagaan bencana ini dilaksanakan selama tiga hari itu dijangka berakhir esok dan menjadi platform mengukuhkan kerjasama antara APM, media serta masyarakat dalam menghadapi bencana.

ROSLINA BINTI DIN