MARAN, 10 Jun - 28 penumpang termasuk 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, pada 1 pagi tadi.
Bagaimanapun, ke semua mereka termasuk seorang pemandu bas serta pemandu treler dan kelindan, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku ketika bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur menghala ke Terminal Sentral Kuantan.
Namun, ketika tiba di lokasi kejadian, bas terbabit yang sedang bergerak di lorong kiri, dipercayai terlanggar belakang treler yang sedang bergerak dari arah sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias menerusi kenyataan media mengesahkan menerima laporan kemalangan membabitkan pelajar universiti berkenaan.
"Kesemua pelajar selamat tiba di kampus UMPSA Gambang dengan menaiki bas ganti sekitar 4 pagi tadi, dengan bantuan Majlis Perwakilan Pelajar dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA)." katanya.
Pelajar kemudian diberikan bantuan dan sokongan segera, termasuk makanan, sokongan emosi dan tempat kediaman sementara kepada tujuh pelajar kampus Pekan.