fb fb fb fb fb

Polis Kelantan sedia kerjasama dalam nahas bas di Gerik

Datuk Mohd Yusoff Mamat / Foto RTM

KOTA BHARU, 10 Jun - Polis Kelantan sedia memberi kerjasama kepada Polis Perak sekiranya diperlukan berhubung kemalangan, yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, pada Isnin awal pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan dan keterangan berhubung kejadian diuruskan oleh Polis Perak.

"Pihak kami bersedia membantu sekiranya diperlukan." katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghulurkan bantuan dengan membantu melancarkan perjalanan pulang jenazah dari Perak ke Terengganu.

Menurut Datuk Mohd Yusoff, beliau dihubungi Ketua Polis Perak dan Ketua Polis Terengganu, memohon bantuan mengiringi van jenazah dari sempadan ke sempadan.

"Kami mengiringi semua van jenazah daripada masuk Gerik, Perak sampai ke Terengganu, yang kemudiannya di sambut kontinjen Terengganu untuk pengebumian."

Beliau turut menasihatkan pemandu bas dan juga kenderaan lain supaya memandu secara berhemah dan jangan melulu sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Dalam kejadian awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Bas yang disewa khas oleh pelajar itu berlepas dari Jertih, Terengganu pada pukul 9 malam Ahad.

Mereka sedang dalam perjalanan ke kampus universiti berkenaan di Tanjung Malim, Perak sebelum terbabit kemalangan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ