fb fb fb fb fb

Lawatan kerja ke China buka peluang baharu untuk rakyat - TPM Zahid

Foto FB Zahid Hamidi

SHANGHAI, 5 November - Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kepercayaan dan memacu inovasi negara.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, lawatan itu turut diharap membuka peluang baharu yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara.

"Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di Shanghai bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama empat hari dari 4 hingga 7 November 2025 bagi mempererat hubungan dua hala Malaysia-China serta memperkukuh kerjasama dalam sektor halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta perdagangan, selaras dengan komitmen bersama ke arah New Golden Era of Malaysia-China Cooperation," katanya.

Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, sepanjang lawatan itu, beliau dijadual menghadiri pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-8, serta merasmikan MIHAS Shanghai 2025 sebagai platform mempromosi industri halal Malaysia di pasaran global.

"Saya dijadual melawat Pavilion Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM) yang menjadi simbol kerjasama erat antara komuniti perniagaan Malaysia dengan China, serta menyaksikan beberapa pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi dan syarikat Malaysia dengan peneraju industri di China,” katanya.

MASNIZA AWANG KECHIK