BESUT, 10 Jun- Jenazah terakhir mangsa nahas jalan raya di Gerik, Perak melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Duek, Besut.
Jenazah ke-15, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22 tahun, penuntut Fakulti Bahasa dan Komunikasi, selamat disemadikan pukul 10.30 pagi tadi.
Kira-kira 100 ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir.
Bapa kepada Allahyarhamah Nurul Fatihah, Abu Setaman Jusoh menyatakan pihaknya menyerahkan siasatan penuh dan tindakan selanjutnya kepada pihak berkuasa.
"Kita lihat keadaan semasa. Jika memerlukan tindakan atau laporan susulan, kita akan beri kerjasama dan serah kepada pihak berkuasa sama ada wujud kecuaian pemandu atau kerosakan sistem bas. Biar siasatan penuh dijalankan terlebih dahulu," kata Abu Setaman kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, 15 jenazah penuntut UPSI yang terlibat nahas, selamat disemadikan di tanah perkuburan islam kampung halaman masing-masing antara pukul 11.37 malam tadi hingga 10.30 pagi ini.
Kesemua jenazah disembahyangkan di Masjid Hadhari, Besut sebaik tiba dari Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak.
Sementara itu, jenazah Nurul Izyanti Muhamad Azahar yang turut terlibat dalam nahas jalan raya di Gerik, Perak selamat disemadikan di sebelah kubur ayahnya, di Kampung Lubuk Kawah, Jerteh, pukul 10.00 pagi tadi.
Kepulangan itu disambut dengan penuh redha dan syukur seluruh ahli keluarga, memberi penghormatan terakhir dalam suasana sugul di lokasi pengebumian.
Kakak kepada Allahyarhamah, Nurul Aiin Sharmin Muhammad Azhar menzahirkan tanda syukur dan berterima kasih kepada semua pihak atas segala bantuan dalam memudahkan proses pengebumian adiknya.
"Alhamdullilah, kami sekeluarga lega. Selesai sudah segala proses dari awal hingga pengebumian. Jenazah adik saya pun pulang dalam keadaan sempurna, cukup anggota badan.
Saya nak ucap terima kasih kepada semua pihak khususnya pasukan perubatan, polis, UPSI dan NGO terlibat. Terima kasih," kata Nurul Aiin kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, jenazah Nurul Izyanti antara 13 jenazah yang tiba serentak di Masjid Hadari, Besut pada pukul 3.00 pagi tadi untuk disembahyangkan sebelum meneruskan perjalanan ke kediaman keluarganya.