fb fb fb fb fb

Agong diberi sambutan negara sempena lawatan negara ke Arab Saudi

Seusai istiadat sambutan negara, berlangsung pertemuan rasmi antara Sultan Ibrahim dan Putera Mohammed Salman/Foto Facebook Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 November – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim disambut dengan istiadat sambutan negara di Istana Al-Yamamah semalam sempena lawatan negara empat hari ke Arab Saudi yang bermula Isnin.

Istiadat itu bermula kira-kira 1.30 tengah hari (6.30 petang waktu Malaysia) dan keberangkatan Sultan Ibrahim disambut oleh Putera Mahkota Arab Saudi dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Sebagai tanda penghormatan, lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Arab Saudi dimainkan sebelum Seri Paduka Baginda, diiringi Putera Mohammed bin Salman, berjalan masuk ke istana melintasi kawalan kehormatan.

Seusai istiadat sambutan negara, berlangsung pertemuan rasmi antara Sultan Ibrahim dan Putera Mohammed Salman.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

Hadir sama Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Seri Datuk Dr. Azmi Rohani, serta Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman.

Putera Mohammed bin Salman turut menghoskan Seri Paduka Baginda dalam majlis santapan negara bersama tetamu-tetamu kehormat.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra dan menyentuh pelbagai perkara.

Baginda menyifatkan pertemuan itu sebagai julung kali antara kedua-dua pemimpin dan memuji pengetahuan luas Putera Mohammed dalam pelbagai isu yang dibincangkan.

“Ini merupakan pertemuan julung kali kami berdua dan Putera Mohammed sangat berpengetahuan dalam pelbagai perkara yang dibincangkan.

“Saya turut berkongsikan beberapa pandangan terutama berkenaan pentingnya pelaksanaan dasar yang konsisten dalam kerajaan serta perhubungan antarabangsa.

“Dasar yang konsisten akan membawa kestabilan perhubungan dua hala serta memberi keyakinan untuk menarik pelaburan kepada sesebuah negara,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Seri Paduka Baginda turut memuji Visi 2030 Arab Saudi, sebuah usaha membangunkan negara Tanah Suci itu ke tahap yang lebih baik melalui kepelbagaian ekonomi, pemerkasaan rakyat, serta penyediaan persekitaran yang rancak buat pelabur.

GRACE AISYAH KEDAYAN