KUALA LUMPUR, 10 Jun - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung tragedi kemalangan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Kejadian tragis yang berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi semalam, 15 pelajar UPSI terkorban manakala tujuh lagi cedera parah apabila bas yang mereka naiki terbalik.
Ujarnya, siasatan kini sedang dijalankan dan orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya.
“Biar siasatan berjalan dahulu. Kita akan umumkan hasil siasatan setelah semuanya lengkap. Buat masa ini, masih terlalu awal untuk buat sebarang rumusan,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Susulan insiden itu, PDRM telah mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat punca sebenar kemalangan.
Dalam pada itu, Tan Sri Ayob Khan menegaskan bahawa pengalaman luas pegawai kanan dan anggota polis dalam pelbagai operasi harus dibukukan sebagai rujukan dan panduan untuk generasi baharu dalam pasukan.
Menurut beliau, banyak operasi yang telah dilaksanakan oleh pasukan polis sama ada melalui Bahagian Cawangan Khas, Narkotik, atau lain-lain memiliki nilai strategik dan praktikal yang tinggi, namun belum didokumentasikan secara menyeluruh.
“Banyak lagi operasi yang saya rasa perlu dibukukan sebagai panduan kepada pegawai-pegawai baru kita yang boleh digunakan untuk mereka sebagai panduan.
“Sebab pengalaman-pengalaman yang ada dengan pegawai-pegawai ataupun anggota polis yang besar ni memang terlalu banyak sangat, sayang kalau tak dibukukan tak dijadikan sebagai panduan,” ujar beliau.
Tan Sri Ayob menambah, setiap operasi yang dijalankan walaupun mempunyai objektif yang sama, sering kali menghadapi cabaran dan pelaksanaan yang berbeza. Tanpa dokumentasi, pegawai baharu mungkin tidak dapat belajar daripada kekhilafan atau kejayaan operasi terdahulu.
“Kita tidak mahu kesalahan sama diulangi. Jadi, saya akan arahkan supaya kesemua panduan ini dibukukan untuk dijadikan bahan rujukan.”
Beliau turut mengulas mengenai keperluan menerima input daripada pegawai kanan polis yang telah bersara, khususnya dalam isu-isu sensitif dan kompleks yang memerlukan pemahaman mendalam dari aspek perundangan dan operasi.
“Saya sendiri banyak mendapatkan pandangan daripada pegawai-pegawai senior yang telah bersara. Panduan mereka sangat berguna untuk menangani isu semasa,” katanya lagi.
Usaha ini dilihat sebagai satu langkah progresif dalam memperkukuh institusi kepolisan negara melalui pemindahan ilmu dan pengalaman secara sistematik.