BAYAN LEPAS, 4 November -Jalan Kenari di Sungai Ara, di sini, ditutup sementara selepas kejadian lubang benam (sinkhole) yang dilaporkan petang tadi.
Menurut Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang telah mengambil tindakan segera dengan melakukan pemasangan penghadang plastik serta penutupan jalan bagi tujuan lencongan trafik melalui Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau dan Jalan Kedidi.
"Kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 6.40 petang dengan anggaran kedalaman lubang, 5 meter berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara," katanya menerusi satu kenyataan.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) turut diminta menjalankan siasatan terhadap aset masing-masing bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau berkata, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan. Kajian terperinci sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar lubang benam itu.
Tambahnya, pihaknya memberi jaminan bahawa JKR komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.