fb fb fb fb fb

Timor-Leste hargai peranan Malaysia dalam keanggotaan penuh ASEAN

Duta Timor-Leste ke Malaysia, Lisualdo Gaspar/RTM

KUALA LUMPUR, 4 November -Timor-Leste menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas peranan penting dan sokongan berterusan yang membantu negara itu diterima sebagai anggota penuh ASEAN pada Oktober lalu.

Duta Timor-Leste ke Malaysia, Lisualdo Gaspar berkata, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memainkan peranan besar dalam memudah cara konsensus antara negara anggota bagi membolehkan Timor-Leste menyertai blok serantau itu secara rasmi.

"Bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia memainkan peranan yang sangat penting dalam membina dialog antara pemimpin ASEAN untuk mencapai kata sepakat mengenai keanggotaan Timor-Leste," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Naratif, di Angkasapuri.

Beliau berkata Malaysia turut menyalurkan bantuan teknikal serta latihan peningkatan keupayaan kepada pegawai Timor-Leste bagi memastikan negara itu dapat menyesuaikan perundangan dan prosedur domestik dengan piawaian ASEAN.

Menurut beliau, keanggotaan penuh ASEAN menandakan pencapaian bersejarah bagi Timor-Leste dan menjadi pengiktirafan terhadap identiti negara itu sebagai sebahagian daripada komuniti Asia Tenggara.

"Menyertai ASEAN bukan sekadar pencapaian diplomatik, tetapi juga pengiktirafan terhadap identiti kami sebagai sebahagian daripada Asia Tenggara," katanya.

Lisualdo menjelaskan bahawa penyertaan dalam ASEAN akan membantu Timor-Leste mengharmonikan sistem perundangan, memperkukuh undang-undang pelaburan serta meningkatkan kemudahan perdagangan untuk menarik pelaburan asing dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai negara kecil, keanggotaan dalam ASEAN memberi peluang kepada Timor-Leste bagi menyuarakan pandangan dalam isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Selain itu, katanya, Timor-Leste yang juga ahli komuniti negara-negara berbahasa Portugis (CPLP), berpotensi berperanan sebagai jambatan bagi memperkukuh hubungan dialog dan kerjasama antara ASEAN dan negara-negara berbahasa Portugis.

"Timor-Leste boleh menjadi jambatan bagi memperkukuh kerjasama antara ASEAN dan negara-negara berbahasa Portugis," ujarnya.

Lisualdo turut menegaskan komitmen Timor-Leste untuk memberi sumbangan bermakna kepada ASEAN melalui dialog, perkongsian pengalaman dalam proses pendamaian, pembinaan keamanan serta pengukuhan institusi demokratik.

TETITIA YUSOFF