fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh kepimpinan pendidikan tinggi serantau menerusi ASHELF 2025

Forum ASHELF 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

PUTRAJAYA, 7 November - Malaysia terus memperkukuh peranan kepimpinannya dalam pendidikan tinggi serantau menerusi penganjuran ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF) 2025, yang berlangsung bersempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Forum berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) sebagai penganjur bersama itu menghimpunkan pemimpin Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), pembuat dasar, ahli akademik dan rakan industri dari seluruh rantau ASEAN bagi membincangkan hala tuju masa depan pendidikan tinggi yang lebih mampan, inklusif dan inovatif.

Bertemakan “Reimagining the Future of Higher Education in ASEAN”, ASHELF 2025 memberi tumpuan kepada enam bidang utama iaitu Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan dan Inovasi, Akademia Muda, Kesihatan Planetari, Kecerdasan Buatan (AI) serta Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Setiausaha Agung ASEAN, H.E. Dr. Kao Kim Hourn, dalam ucaptamanya yang bertajuk “ASEAN Higher Education Leadership: Navigating the Future Together”, menekankan tentang keperluan kepimpinan yang berwawasan, tangkas dan autentik dalam menghadapi perubahan landskap pendidikan global.

Beliau turut menyeru agar institusi pendidikan tinggi ASEAN memperkukuh kolaborasi rentas negara bagi membina ekosistem pengetahuan yang berdaya saing dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Forum turut menekankan penerapan prinsip Diversity, Equity, Inclusion and Belonging (DEIB) ini diselaraskan dengan Joint Declaration on the Common Space in Southeast Asian Higher Education, sekali gus menyumbang kepada pembangunan Common Space Roadmap ke arah transformasi pendidikan tinggi serantau.

Menurut Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman, penganjuran ASHELF 2025 membuktikan komitmen Malaysia khususnya UPSI dalam memperkukuh jaringan kepimpinan pendidikan tinggi di peringkat serantau.

“ASHELF bukan sekadar platform perkongsian ilmu, tetapi medan untuk membina kesepaduan strategik antara universiti, industri dan agensi serantau. Dengan lebih 500 penyertaan, forum ini membuka ruang kepada universiti di rantau ASEAN untuk meneroka sinergi baharu, termasuk dalam bidang teknologi pendidikan, AI dan TVET, ke arah melahirkan generasi pelajar yang bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Beliau menambah, penganjuran ini selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk melahirkan kepimpinan pendidikan tinggi yang berwawasan dan berdaya tahan.

“Dengan penyertaan pemimpin dan wakil akademik dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Vietnam, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Myanmar, ASHELF 2025 menandakan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh jaringan pendidikan tinggi ASEAN sebagai teras pembangunan modal insan dan daya saing global,” katanya.

AZRUL FAIZAL JUSOH