KUALA LUMPUR, 4 November - Pemantauan akan dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengenal pasti trend pembelian petrol RON 95 oleh individu yang hanya memiliki lesen motosikal dan menggunakan sepenuhnya had subsidi BUDI95 terutamanya di sempadan negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini bagi mengelak kegiatan penyelewengan petrol bersubsidi itu.
"Siasatan akan dilakukan dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya berlaku pembelian untuk tujuan penyelewengan dan penyeludupan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar, di Dewan Rakyat.
Sementara itu, beliau berkata jumlah kes penyelewengan bahan api RON95 menunjukkan penurunan selepas pelaksanaan BUDI95, hasil pemantauan melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
“Laporan menunjukkan terdapat penurunan dalam kes petrol RON95 dengan 61 kes melibatkan 17,724 liter disita bagi tempoh 30 September hingga 29 Oktober lepas, berbanding 71 kes dengan 32,229 liter disita bagi tempoh 31 Ogos hingga 29 September tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Armizan menafikan dakwaan yang Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hanya memberi tumpuan kepada isu-isu teknikal kurang kritikal dan mengejar kes berprofil tinggi tanpa impak langsung kepada rakyat.
"Sejak penubuhan MyCC pada 2011 sehingga kini, MyCC sudahpun mengenakan penalti berjumlah RM687.9 juta terhadap 270 syarikat daripada pelbagai industri yang terbabit dalam kegiatan kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan.
"Kesemua ini memberi kesan positif secara langsung atau tidak langsung kepada kos sara hidup rakyat," katanya.
Selaras dengan iltizam kerajaan Madani, MyCC menumpukan penyiasatan dan penguatkuasaannya terhadap tiga jenis kartel utama iaitu kartel tipuan bida dalam perolehan kerajaan, kartel dalam industri makanan dan produk pertanian serta kartel dalam perkhidmatan asas pengguna.