fb fb fb fb fb

Ahmad Zahid tiba di China mulakan lawatan kerja empat hari

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid disambut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Mohamad dan Konsul Jeneral ke Shanghai Mohd Shahafeez Shaharis/Foto DPMO

SHANGHAI, 5 November - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selamat tiba di sini pada Selasa untuk memulakan lawatan kerja selama empat hari di China.

Pesawat khas membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hongqiao, dekat sini pukul 11.14 malam, waktu tempatan.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri disambut Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad dan Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Mohd Shahafeez Shaharis.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kemudiannya disambut Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE, Norman Nasri sebaik tiba di hotel penginapan.

Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat tertutup bersama delegasi Malaysia dan menghadiri Majlis Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China ke-8, termasuk menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA dengan Shanghai Jiao Tong University.

Semasa lawatan ini juga, Datuk Seri Ahmad Zahid dijadual merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025.

Beliau juga akan bertemu dengan pemegang taruh berkepentingan dalam sektor halal China dalam usaha memperkasa kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global dan membuka peluang pasaran baharu seantero dunia.

Untuk rekod, Malaysia-China menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974 dan China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar untuk 16 tahun berturut-turut sejak dari 2009.

Nilai dagangan antara Malaysia-China adalah RM484.12 bilion pada 2024 yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trillion).

GRACE AISYAH KEDAYAN