KUALA LUMPUR, 10 Jun- Majlis Ibadah Korban Perdana Peringkat Tentera Darat Tahun 2025, mencerminkan usaha berterusan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menyantuni masyarakat serta memperkukuh hubungan harmoni bersama komuniti.
Justeru, sebanyak 27 ekor lembu dikorbankan dalam majlis berkenaan, 16 daripadanya hasil sumbangan warga TDM sendiri.
Menurut Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, daging korban berkenaan akan diagihkan kepada rumah anak yatim dan fakir miskin sekitar Kuala Lumpur.
"Keseluruhan jumlah daging yang kita ada lebih kurang 2,420 kilogram. Kita jangkakan boleh agihkan sekitar 2,000 kilogram, di mana dua pertiga daripada jumlah itu akan diberikan kepada golongan yang memerlukan.
Lembu-lembu ini akan kita agihkan kepada beberapa rumah-rumah anak yatim, Tahfiz dan juga kepada fakir-fakir miskin di sekitar Kuala Lumpur antaranya adalah Darul Falah dan juga di Baitul Ulfah Center Seri Kembangan, Rumah Anak Yatim Darul Fikri Rohana dan juga kepada STATM iaitu Sekolah Tahfiz Angkatan Tentera Malaysia di hadapan Kem Sungai Besi," kata Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi kepada pemberita, hari ini.
Program dimulakan dengan penyerahan pisau sembelihan oleh Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi kepada Ketua Pengarah Agama Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Mohd Jihadi Ahmad, sebagai simbolik rasmi majlis.
Jelas Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi, seramai 425 petugas terlibat dalam menjayakan program berkenaan termasuk warga TDM dari Kem Sungai Besi, Wadieburn dan Kementerian Pertahanan.