PUTRAJAYA, 10 Jun- Sejumlah RM1,000 diberikan kepada 10 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), susulan nahas jalan raya di Gerik, Perak, semalam.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, penyaluran menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) itu membabitkan dua pelajar yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh manakala lapan lagi di Hospital Taiping.
Sumbangan akan disampaikan oleh Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam lawatannya.
"Beliau (Datuk Seri Dr. Noraini) akan melawat terlebih dahulu pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), seramai 10 orang dan akan menyampaikan sumbangan sekurang-kurangnya RM1,000 seorang. Kemudian, kita akan beri perhatian kepada mereka yang baru sahaja kehilangan ahli keluarga. Saya percaya mereka juga memerlukan masa.
Ini bukan sekadar soal wang semata-mata. Kita perlu bantu mereka, beri sokongan khususnya sokongan emosi," kata Datuk Seri Nancy kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Wanita 2025 ‘EmpowerHER: Engage, Energize, Elevate’, di sini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Nancy memaklumkan kementeriannya sedang menyelaras keperluan khidmat kaunseling bagi keluarga mangsa, termasuk waris kepada pelajar yang terkorban.
Langkah itu bagi memberi bantuan emosi menerusi kepakaran kumpulan kaunselor profesional selain membantu memudahkan urusan berkait mangsa yang terlibat.