fb fb fb fb fb

Nelayan ditemui lemas terbelit jala sendiri

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke hospital

KUCHING, 5 November – Seorang nelayan sungai ditemukan mati lemas selepas terjerut dengan jala sendiri di Sungai Temenggong, Matang, dekat sini, lewat malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Mohd Adib Ibrahim, berkata mangsa dikenali sebagai Zailani Jenis, 61, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat sejak awal pagi semalam.

“Usaha mencari mangsa digerakkan oleh penduduk kampung petang semalam namun ditangguhkan kerana keadaan gelap.

“Mangsa dijumpai sekitar 8.53 malam di kawasan Belat Batu Penyu Laki dalam keadaan terapung dan terbelit pada jala sendiri sebelum bomba dihubungi untuk bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita RTM di lokasi kejadian malam tadi.

Mohd Adib mengesahkan tiada kesan serangan reptilia air pada badan mangsa.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan bedah siasat.

GRACE AISYAH KEDAYAN