KUALA LUMPUR, 5 November - Penubuhan Rangkaian Keselamatan Kecerdasan Buatan ASEAN (ASEAN AI Safe) bakal memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang lebih selamat dan bertanggungjawab di rantau ini.
Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Nurhizam Safie Mohd Satar berkata deklarasi itu merupakan langkah penting dalam menyeragamkan piawaian dan garis panduan tadbir urus serta etika penggunaan AI di peringkat ASEAN.
Menurutnya, penyertaan 11 negara anggota ASEAN dalam deklarasi berkenaan akan mempertingkatkan kesediaan serantau untuk mengguna pakai teknologi AI secara beretika, selain memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam pembangunan sumber manusia dan keselamatan digital.
"Menangani ancaman baru serangan siber, mungkin kecelaruan yang dibuat melalui algorithma komputer juga contohnya macam 'deep fake', tukar wajah orang suara dan sebagainya. Ini sangat-sangat boleh berlaku. Jadi menerusi deklarasi ini, kerjasama rentas sempadan di antara negara-negara ini diperlukan.
"Satu peluang kerjasama di antara negara-negara, terutamanya diterajui oleh Kementerian Digital di mana kemungkinan pelaburan dari segi sumber manusia 'train of trainers'. Contohnya, kita latih pensyarah, jurulatihnya yang ke Timor Leste untuk memberi pendedahan kepada bidang etika penggunaan AI dan sebagainya.
"Lantaran secara tidak langsung, kita daripada negara yang dikira berkemajuan dari segi teknologi, mampu membantu negara yang masih lagi berkembang atau membangun seperti Timor Leste," katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Profesor Dr Nurhizam turut menegaskan bahawa deklarasi ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk menerajui pembangunan teknologi digital serantau berasaskan nilai kemanusiaan dan keselamatan.
Terdahulu, Deklarasi Penubuhan Rangkaian mengenai Keselamatan Kecerdasan Buatan ASEAN (ASEAN AI Safe) telah diterima pakai pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Deklarasi berkenaan menandakan peranan kepimpinan Malaysia dalam menetapkan agenda serantau ke arah ekosistem AI yang berintegriti dan selamat.