KUALA LUMPUR, 5 November - Kerajaan komited memastikan pembangunan pusat data di Malaysia dilaksanakan secara lestari, dengan mengambil kira keperluan tenaga, penggunaan air serta keseimbangan ekosistem industri digital negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata langkah itu bertujuan menyokong pertumbuhan teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
“Dasar kita adalah untuk mewujudkan 'whole value chain of investment' supaya pelaburan ini bukan sahaja tertumpu kepada hotel tersebut, tetapi turut menjadikan hotel itu sebagai pusat data yang berfungsi sebagai 'optical hub' untuk memperbaharui tenaga.
"Langkah ini juga akan merancakkan industri rantaian bekalan pusat data di negara kita. Kita sudah melihat penyertaan kilang-kilang dari luar negara serta kilang tempatan yang membina peralatan bagi pusat data.
"Justeru, dasar ini diharap dapat memastikan pusat data sedia ada mampu menjana ekosistem AI, sekali gus menggalakkan penggunaan AI dalam industri dan memperkukuh ekonomi berasaskan AI serta digital," katanya di Dewan Rakyat di sini.
Tambah beliau, Suruhanjaya Tenaga turut mengenal pasti wujud elemen spekulasi dalam permohonan pembinaan pusat data, apabila penggunaan tenaga sebenar ketika ini hanya mencapai 47 peratus daripada kapasiti maksimum yang diisytiharkan.
Kerajaan menyasarkan tahap penggunaan 85 peratus bagi memastikan tiada pembaziran aset tenaga serta mengelak beban kos tambahan kepada pengguna lain.