MELAKA, 5 November - Penambahan had kelayakan petrol sehingga 800 liter sebulan menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk pemandu e-hailing sepenuh masa, disambut baik.
Seorang pemandu e-hailing, Muhammad Sazali Abu Bakar berkata, langkah yang berkuatkuasa bulan ini, dapat meringankan beban kos operasi hariannya.
"Pada pendapat saya, BUDI95 itu bagus untuk kami pemandu e-hailing sebab kos sekarang semua naik. Jadi, ini salah satu inisiatif kerajaan yang saya rasa dapat membantu menampung perbelanjaan semasa," katanya.
Seorang lagi pemandu e-hailing, Shahrun Sari, turut berterima kasih kepada kerajaan atas peningkatan kuota bahan api itu.
"Saya ucapkan terima kasih sebab kerajaan bagi kuota minyak lebih daripada biasa. Biasanya 300 liter, sekarang ini sehingga 800 liter, alhamdulillah, mencukupi," katanya.
Sementara itu, pemandu e-hailing, Nazrul Faizal Md Zain pula berharap agar kuota tersebut tidak dihadkan selagi mereka masih aktif memandu.
"Kita kena akurlah buat masa sekarang ini. Untuk masa akan datang, harap ia tidak terhad. Maksudnya, selagi masih memandu, biarlah kuota lebih lagi," ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, tambahan kuota itu melibatkan 58,000 pemandu e-hailing yang layak dengan jumlah perjalanan sehingga 5,000 kilometer sebulan.
Kelayakan berperingkat BUDI95 bagi pemandu e-hailing akan diaktifkan pada setiap pertengahan bulan.
Mereka yang memandu kurang daripada 2,000 kilometer, akan menikmati 300 liter asas, manakala jarak 2,000 hingga 5,000 kilometer, layak menerima tambahan 300 liter, menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter.
Mereka yang memandu melebihi 5,000 kilometer pula akan menerima tambahan 500 liter, menjadikan keseluruhan 800 liter sebulan.###