KUALA LUMPUR, 5 November - Inisiatif Desa Kirana akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan manfaat program itu benar-benar dirasai komuniti setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pihaknya mengalu-alukan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan inisiatif tersebut.
Menurut beliau, kementerian terbuka untuk menerima penyertaan GLC memandangkan potensi besar Desa Kirana dalam memacu pembangunan ekonomi luar bandar.
"Pihak kementerian menyambut baik sekiranya ada GLC yang ingin terlibat dalam pelaksanaan program Desa Kirana memandangkan potensi program ini amat besar, namun memandangkan program ini masih di peringkat awal, kementerian masih dalam proses memantapkannya.
"Maksudnya dari sudut pengelolaan, masih di peringkat kementerian sebelum ia dibuka kepada agensi lain ataupun pihak GLC bagi memperkemaskan lagi program Desa Kirana ini pada masa-masa akan datang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid di Dewan Rakyat.
Insiatif Desa Kirana diperkenalkan sebagai pemacu baharu pelancongan desa yang menumpu kepada lima fokus utama tarikan pelancongan dalam usaha meningkatkan ekonomi komuniti luar bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Datuk Rubiah, Desa Kirana menjadi "game changer" bagi tahun 2025 dengan mempakejkan tarikan pelancongan sedia ada di kawasan desa ke dalam bentuk pakej komprehensif dan tersusun.
Menerusinya, sebanyak 21 pakej akan diperkenalkan oleh kementerian dengan kerjasama agensi bawah kementerian serta pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
"Memperkenalkan warisan dan budaya setempat seperti tapak bersejarah, adat resam, seni persembahan tradisional dan lain-lain tarikan semula jadi, serta mengetengahkan keindahan dan keunikan alam semula jadi seperti hutan, gunung, bukit dan sungai.
"Gastronomi pula menampilkan kekayaan kulinari tempatan melalui demonstrasi masakan, penyediaan makanan tradisional serta sajian ikonik setiap negeri produk tradisional, selain mengangkat hasil seni dan kraf tangan tempatan seperti batik, songket, anyaman dan ukiran sebagai elemen penting dalam tarikan pelancongan berasaskan warisan aktiviti pengalaman setempat.
"Di samping itu, kita juga menyediakan pengalaman pelancongan yang autentik dan interaktif seperti inap desa, aktiviti menangkap ikan, permainan tradisional, aktiviti perakitan, ATV, pendakian, penerokaan gua, perkhemahan dan aktiviti lasak lain yang berteraskan alam dan budaya tempatan," katanya.