Pengarah KPDN Kelantan meninggal dunia akibat kanser

Foto Facebook KPDN Laman Rasmi

BACHOK, 7 April – Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail meninggal dunia akibat kanser usus, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada pukul 2.40 pagi.
  • Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuin Pasir, Jelawat pada pukul 9.45 pagi selepas disolatkan.
  • Ditidurkan sejak seminggu lalu akibat komplikasi; pernah menjalani pembedahan membuang darah beku di paru-paru dan dipantau oleh pihak hospital.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Kota Bharu pada pukul 2.40 pagi.

Perkara itu disahkan oleh anak saudara Allahyarham, Ahmad Danial Asyee Zakaria.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuin Pasir, Jelawat, Bachok pada pukul 9.45 pagi, selepas disolatkan di Masjid Al-Baqi Mukim Mujur.

Azman, 57 tahun yang berkhidmat sebagai pengarah KPDN Kelantan sejak 2023, meninggalkan seorang balu serta lima anak.

Allahyarham sebelum ini ditidurkan sejak seminggu lalu akibat komplikasi penyakit kanser usus dan berada dalam pemantauan pihak hospital sejak beberapa bulan yang lepas.

Anak sulungnya, Nur Arisha Abi Azman ketika ditemui berkata, mereka sekeluarga redha dengan pemergian ayahnya selepas ditidurkan sejak lapan hari lalu dan menjalani pembedahan membuang darah beku di paru-paru di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu.

“Sebelum ayah pergi, dia tak de kata apa, cuma dia pesan sebelum dia ditidurkan tulah, selagi boleh ikhtiar untuk penyakit dia, dia suruh ikhtiar. Kali pertama penyakit dia dikesan pada 28 Disember 2025. Itu yang pertama kali kami dan dia tahu. Masa tu dah peringkat tiga. Bila pembedahan dilakukan pada 8 Januari 2026 dah peringkat empat,” katanya.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar yang turut hadir dalam upacara pengebumian itu menyifatkan pemergian allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat warga KPDN, khususnya di Kelantan.

“Arwah ni seorang yang kuat bekerja. Walaupun dalam keadaan tidak sihat, sakit dia selalu memikirkan soal kerja dan memberikan nasihat kepada kami supaya menjalankan kerja dengan baik dan amanah yang disampaikan kita akan jalankan sebaik mungkin,”katanya.