Festival Seni Budaya hidupkan semula warisan tempatan

Antara peserta yang menyertai Festival Seni Budaya dan Cabaran Wau Peringkat Kebangsaan Kedah 2026

ALOR SETAR, 7 April– Festival Seni Budaya dan Cabaran Wau Peringkat Kebangsaan Kedah 2026 menjadi platform menghidupkan warisan budaya tempatan melalui penglibatan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran Wau Kedah menarik 600 peserta untuk acara utama sepanjang tiga hari penganjuran.
  • Pertandingan wau kategori bebas ikut piawaian kebangsaan, dinilai menggunakan kaedah Pacang Meter.
  • Aktiviti sampingan termasuk gubahan tuala, sukan rakyat, Fun Walk bersama KBS; 25 agensi terlibat; festival diteruskan demi pelihara warisan.

Program di Kampung Teluk Bagan, Batu 3, Tandop itu menarik penyertaan 600 peserta bagi acara utama, Cabaran Wau Kedah sepanjang tiga hari penganjuran.

Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris memaklumkan, pertandingan dijalankan dalam kategori bebas mengikut piawaian kebangsaan.

Penilaian dibuat menggunakan kaedah Pacang Meter.

“Program ini bukan sekadar acara biasa, tetapi usaha mengangkat kembali warisan dan kebanggaan kita.

Ia juga menyediakan ruang aktiviti sihat kepada masyarakat, khususnya golongan belia,” katanya.

Selain itu, program turut diserikan dengan aktiviti sampingan termasuk gubahan tuala, sukan rakyat dan kerabu jantung pisang.

Festival itu turut menampilkan penganjuran Fun Walk dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Program berkenaan memasuki tahun kedua dan dirasmikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Sebanyak 25 agensi kerajaan dan badan berkaitan terlibat dalam menjayakan penganjuran tersebut.

Asmirul memaklumkan, festival itu akan diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan warisan budaya kekal dipelihara.

“Warisan ini tidak boleh lapuk dek zaman kerana ia merupakan identiti dan kebanggaan kita,” katanya.