
KUALA LUMPUR, 7 April – Sokongan terhadap ekonomi tempatan serta pendekatan berjimat cermat, dilihat sebagai langkah penting dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global masa kini, sekali gus memastikan kelangsungan kewangan rakyat.
- Utamakan pembelian barangan buatan Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi domestik dan galakkan sektor swasta mempromosi produk tempatan.
- Rakyat perlu bersedia menghadapi tempoh ekonomi mencabar dalam jangka sederhana; pemulihan dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun.
- Inflasi meningkat tetapi kenaikan gaji tidak setara, menyebabkan tekanan kos hidup dan keperluan rakyat untuk berjimat.
- Kenaikan kos hidup mengubah keutamaan perbelanjaan kepada keperluan asas, impak negatif kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM, Dr Mohd Iqbal Mohd Noor menjelaskan usaha mengukuhkan ekonomi negara perlu dimulakan dengan menaikkan ekonomi domestik terlebih dahulu.
“Kita sepatutnya, membeli barangan buatan Malaysia. Jika ingin mengukuhkan ekonomi negara, kita kena menaikkan ekonomi dalaman dahulu. Jadi masa inilah, sektor swasta perlu mempromosikan barangan buatan Malaysia. Saya percaya barangan tempatan juga sebenarnya bagus. Cuma, persepsi rakyat yang lebih memilih barangan import,” katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu Rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.
Beliau mengakui berdasarkan trend semasa, rakyat perlu lebih bersedia menghadapi tempoh ekonomi yang mencabar dalam jangka masa sederhana.
Selain itu, rakyat perlu bersedia menghadapi keadaan ekonomi semasa memandangkan isu bahan api dan jaminan keselamatan makanan dijangka mengambil masa untuk stabil dan pemulihan mungkin dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
Dr Mohd Iqbal bagaimanapun berkata situasi rakyat Malaysia kini masih berada pada tahap berjimat cermat dan belum sampai ke tahap ‘bertahan’ sepenuhnya.
Menurutnya, kenaikan kos sara hidup yang terus memberi tekanan kepada rakyat, menyebabkan mereka terpaksa mengubah corak perbelanjaan masing-masing.
“Kalau ikut memang harga barang dapur kita semakin naik. Kenaikan itu tidak sama dengan kenaikan gaji. Maksudnya inflasi naik, itu normal. Cuma apa yang kita kena pastikan juga gaji pun kena naik sekali. Jadi, kalau apa yang terjadi sekarang, gaji tidak naik setara dengan kenaikan inflasi. Oleh sebab itu rakyat kita terpaksa berjimat,”katanya.
Beliau juga berkata kenaikan kos sara hidup turut mempengaruhi keutamaan kewangan harian rakyat yang kini lebih cenderung menumpukan kepada keperluan asas berbanding perbelanjaan lain.
“Jadi kalau terlalu banyak kos sara hidup naik, maksudnya rakyat mula akan berfikir untuk benda-benda penting sahaja. Jadi, situasi ini akan memberi impak kepada sektor pelancongan kita dan perkhidmatan-perkhidmatan lain,” katanya.