SHANGHAI, 5 November - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi China International Import Expo (CIIE) 2025 kelapan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC), dekat sini.
Kehadiran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu atas undangan daripada Kerajaan China.
Ia sekali gus menjadi kehadiran pertama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ke ekspo tersebut dan kali keenam Malaysia menyertai di peringkat tertinggi sejak kali pertama dianjurkan pada tahun 2018.
“Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghadiri CIIE ketujuh di lokasi sama,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Kenyataan itu turut memaklumkan Majlis pembukaan CIIE disempurnakan Perdana Menteri China, Li Qiang.
Kehadiran pemimpin itu sekali gus menzahirkan komitmen tinggi kerajaan China terhadap kerjasama perdagangan global dan keterbukaan pasaran antarabangsa.
Ia turut memperkukuh kedudukan CIIE sebagai salah satu pameran ekonomi paling berpengaruh di dunia.
CIIE merupakan inisiatif China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) untuk mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke CIIE 2025 merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja beliau ke Shanghai bermula semalam hingga 7 November ini.
Melalui lawatan tersebut, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga akan merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025, esok yang dianjurkan bersempena CIIE.
MIHAS@Shanghai merupakan edisi MIHAS kedua di peringkat antarabangsa selepas kejayaan MIHAS@Dubai2024.
Ini selaras dengan kedudukan CIIE yang merupakan salah satu platform perdagangan terbesar di dunia.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan penyertaan Malaysia dalam CIIE dan penganjuran MIHAS@Shanghai membuktikan kesungguhan negara untuk meneroka pasaran baharu serta memperkukuh kehadiran ekonomi Malaysia di rantau ini.
“China merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia.
“Melalui platform seperti CIIE dan MIHAS@Shanghai, kita bukan sahaja memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, tetapi juga membuka lebih banyak peluang untuk industri halal dan PKS Malaysia menembusi pasaran global bernilai tinggi,” katanya.
Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan China.
Ini sejajar dengan dasar kerajaan dalam memperluas jaringan pasaran luar negara bagi produk Malaysia, khususnya dalam sektor halal dan pembangunan luar bandar.