PUTRAJAYA, 10 Jun- Presiden Republik Poland, Andrzej Duda menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan sulung beliau ke Malaysia, hari ini.
Ketibaan Duda dan pasangan, Agata Kornhauser-Duda pada pukul 10.00 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lawatan kerja itu merupakan kunjungan sulung Duda ke Malaysia semenjak memegang jawatan pada Ogos 2015.
Lawatan berkenaan dilihat amat bermakna selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 manakala Poland pula selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah bagi tempoh separuh pertama, tahun ini.
Menerusi pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu berkait kepentingan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa termasuk Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
Ini termasuk usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan agrokomoditi.
Lawatan berkenaan melambangkan hubungan erat Malaysia dan Poland yang berteraskan prinsip saling menghormati serta kerjasama, sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1971.
Pada 2024, Poland adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.