PUTRAJAYA, 3 November - Malaysia menzahirkan kebimbangan serius terhadap krisis keselamatan dan kemanusiaan yang semakin memburuk di Sudan, terutamanya konflik yang sengit di wilayah Darfur.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, laporan mengenai kekejaman, pembunuhan beramai-ramai dan perpindahan besar-besaran itu amat membimbangkan.
Malah Pencabulan terhadap hak-hak kemanusian itu juga merupakan pelanggaran jelas terhadap Undang-Undang Antarabangsa dan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.
Malaysia menyeru semua pihak terlibat, untuk mengawal diri dan mematuhi kewajipan mereka sepenuhnya bagi melindungi nyawa dan mengelakkan kemusnahan kepada prasarana awam.
"Untuk mengurangkan kesengsaraan yang dihadapi oleh orang awam, semua pihak yang terlibat perlu menjamin penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa rintangan dan ancaman keselamatan termasuk pewujudan koridor-koridor penyaluran bantuan kemanusiaan dan bekalan ke semua kawasan yang terjejas."
Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan komited untuk menyokong semua usaha serantau dan antarabangsa yang bertujuan untuk mengembalikan keamanan, kestabilan dan keselamatan.