fb fb fb fb fb

Seorang wanita maut di Air Terjun Wong Ruan

Mangsa disahkan meninggal dunia / Foto RTM

SARIKEI, 10 Jun - Seorang wanita ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan lemas ketika mandi di Air Terjun Wong Ruan, Sungai Ruan, Ulu Sarikei, pada Isnin petang.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Nur Afiqah Jemat, berusia 20 tahun, sedang mandi bersama rakannya, Nurellysa Abdullah, berusia 14 tahun, sebelum insiden berlaku sekitar pukul tiga petang.

"Panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.15 petang." menurut kenyataan itu.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei telah digerakkan ke lokasi.

Orang awam menjumpai mangsa yang lemas dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan pada pukul 6.13 petang.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat tamat sepenuhnya kira-kira pukul 7 malam.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ