KUALA LUMPUR, 10 Jun - Malaysia mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Presiden Habitat Assembly Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi tempoh kepimpinan baharu, menggantikan Mexico.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, berkata pelantikan itu merupakan satu penghormatan besar buat negara dalam membentuk dasar-dasar pembandaran global yang mampan dan berdaya tahan.
"Kita sekarang menjadi Presiden Habitat Assembly. Ini satu penghormatan kepada negara dalam menggubal dasar pembandaran baharu dan menjadi ketua dalam penggubalan dasar-dasar pembandaran di peringkat global," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Sebagai Presiden, Malaysia berpeluang mengetuai penggubalan agenda seperti dasar perumahan mampu milik, bandar pintar, pengurusan sisa pepejal serta kewangan perbandaran di peringkat antarabangsa.
Ujarnya kehadiran Malaysia dalam persidangan antarabangsa seperti UN High Level Political Forum di New York dan UN General Assembly pada September nanti akan memperkukuh suara negara dalam isu perbandaran global.
Ia juga membolehkan Malaysia berkongsi ilmu bersama lebih 1,600 bandar di bawah UN-Habitat serta memperoleh input daripada negara lain.
"Kita boleh berkongsi ilmu dan amalan terbaik dengan 1,600 bandar lain. Ini amat penting untuk bawa Malaysia ke arah lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan," tambahnya.
Malaysia dilantik secara sebulat suara oleh 193 negara anggota PBB yang merupakan sesuatu perkara jarang berlaku dan dianggap pencapaian luar biasa dalam bidang perbandaran antarabangsa.