fb fb fb fb fb

Pelaburan hijau negara cecah RM7.8 bilion tahun lalu

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 4 November - Malaysia mencatatkan nilai penjanaan pelaburan hijau mencecah RM7.8 bilion pada tahun lalu.

Ia meliputi sumbangan daripada hasil pelaksanaan inisiatif, seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA), Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 4.0, serta Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM).

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan, sumbangan itu termasuk komitmen pelaburan yang diraih menerusi siri IGEM sejak tahun 2020.

"Nilai penjanaan pelaburan hijau adalah sebanyak RM7.8 bilion meliputi sumbangan daripada inisiatif GITA, GTFS dan juga IGEM. Sumbangan ini termasuk komitmen pelaburan yang diraih melalui siri IGEM sejak 2020 yang berjaya menjana lebih RM10 bilion potensi pelaburan hijau setakat ini.

"Inisiatif itu turut menyumbang kepada penciptaan lebih 2,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2024 merentasi sektor berkaitan teknologi hijau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa persidangan Dewan Rakyat.

Secara keseluruhan, pembangunan sektor ekonomi hijau telah menyumbang kepada penciptaan hampir 34 ribu peluang pekerjaan.

MASNIZA AWANG KECHIK