fb fb fb fb fb

Kompaun kesalahan Akta Kerja 1955 cecah RM2.87 juta, KESUMA tegas tidak berkompromi

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengetuai operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah gudang penyimpanan kurier di Klang /RTM

KLANG, 4 November— Sebanyak 488 operasi penguatkuasaan telah dijalankan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di seluruh negara sejak Januari tahun ini bagi memastikan semua majikan mematuhi undang-undang perburuhan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, daripada jumlah itu, 490 kertas siasatan telah dibuka dengan 353 kes mendapat kebenaran untuk pendakwaan, manakala jumlah kompaun yang dikeluarkan mencecah RM2.87 juta dan denda sebanyak RM138,000 turut dikenakan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati masih wujud pelanggaran seperti waktu kerja melebihi 45 jam seminggu, bayaran kerja lebih masa tidak mencukupi, ketiadaan penyata gaji serta kegagalan mencarum KWSP dan PERKESO bagi pekerja sambilan.

“Kita tidak mahu ada penindasan berlaku dalam negara kita sendiri, sama ada terhadap pekerja asing mahupun pekerja tempatan. Saya lihat ramai pekerja tempatan di sini, dan kita tidak mahu mereka dianaktirikan.

“Langkah seperti ini akan terus dilaksanakan selagi saya berada di KESUMA. Saya beritahu rakyat, menteri akan terus melaksanakan dasar yang telah kita bentangkan demi memastikan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah gudang penyimpanan kurier di Klang.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap majikan yang gagal mematuhi undang-undang termasuk tidak mencarum KWSP dan PERKESO atau menafikan hak pekerja terhadap gaji dan kemudahan asas.

SITI NOORAIN ABDULLAH