
KUALA LUMPUR, 20 Mac– Impian menyaksikan silat kembali dipertandingkan di pentas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hampir menjadi kenyataan apabila kini berada di fasa akhir proses bidaan.
- Membuka peluang cerah buat Malaysia menambah koleksi pingat emas jika sukan warisan silat disenaraikan semula.
- PESAKA telah membuat persiapan rapi dan memberi peluang kepada pesilat baharu sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia.
- Perkembangan disokong penyertaan lebih 20 negara Asia termasuk beberapa negara Asia Tengah, menambah kekuatan silat di peringkat antarabangsa.
Perkembangan itu membuka peluang cerah buat Malaysia menambah koleksi pingat emas sekiranya sukan warisan itu disenaraikan semula.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin menaruh keyakinan tinggi apabila permohonan dikemukakan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa kini di peringkat akhir selepas memenuhi semua syarat ditetapkan Majlis Olimpik Asia termasuk pengiktirafan Agensi Anti-Doping Dunia.
“Kita telah membuat persiapan rapi, sebab itu saya bersetuju untuk memberi peluang kepada pesilat baharu bukan sahaja bagi menghadapi kejohanan semasa, tetapi juga sebagai persediaan ke Sukan Asia.
“Dalam masa sama, PERSILAT turut memaklumkan bahawa maklum balas rasmi dijangka diterima dalam tempoh terdekat.” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PESAKA 2026.
Keputusan rasmi dijangka diketahui sebelum April ini, dengan tuan rumah mempunyai kuasa menentukan senarai akhir acara yang akan dipertandingkan.
Menurutnya, perkembangan positif itu turut disokong penyertaan meluas negara Asia dengan lebih 20 negara kini memiliki pasukan silat termasuk dari Asia Tengah antaranya Uzbekistan, Kazakhstan, Azerbaijan dan Turkmenistan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden PERSILAT, Prabowo Subianto atas usaha berterusan memperkukuh kedudukan silat di pentas antarabangsa.
Silat sebelum ini pernah dipertandingkan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 namun tidak disenaraikan pada edisi berikutnya.
Dalam perkembangan lain, PESAKA telah membentuk skuad kebangsaan baharu yang akan diuji pada Kejohanan Silat Terbuka Belgium di Schoten bermula 18 hingga 27 Mac ini.