
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menggariskan misi besar menjelang Sukan SEA 2027 dengan meletakkan sasaran enam pingat emas sebagai fokus utama pembangunan sukan hoki negara.
- Persediaan rapi dimulakan awal, termasuk rayuan kepada KBS untuk memulakan latihan hoki dalam dewan lelaki dan wanita.
- Pembangunan skuad wanita diberi perhatian, perlu lebih dominan dan tidak bergantung kepada kemenangan tipis atau penentuan 'shoot-out'.
- Perubahan struktur, termasuk penambahbaikan program latihan dan pembangunan pemain, akan diumumkan selepas Aidilfitri untuk kukuhkan ekosistem hoki negara.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menyatakan sasaran itu melibatkan semua kategori termasuk hoki padang lelaki dan wanita, selain hoki 5 sebelah serta acara indoor yang kini dalam perancangan awal.
Beliau menegaskan persiapan rapi perlu dimulakan lebih awal bagi memastikan semua pasukan berada pada tahap terbaik menjelang temasya tersebut.
“Kita perlu menang Sukan SEA 2027 dengan menyasarkan enam pingat emas. Saya sudah memberikan jaminan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa enam pingat kita akan menang.
“Kita juga ada membuat rayuan kepada KBS untuk mempertimbangkan agar memulakan latihan secepat mungkin bagi sukan hoki dalam dewan bagi kategori lelaki dan wanita,” katanya.
Dalam masa sama, KHM turut memberi perhatian terhadap pembangunan skuad wanita negara yang disifatkan masih belum mencapai tahap sebenar sebagai kuasa utama di rantau ini.
Menurutnya, pasukan wanita perlu tampil lebih dominan dan tidak lagi bergantung kepada kemenangan tipis, sebaliknya menguasai permainan secara konsisten.
“Pasukan wanita negara tidak boleh lagi sekadar bergantung kepada kemenangan tipis atau penentuan ‘shoot-out’. Sebaliknya, Malaysia perlu tampil jauh lebih dominan dan berada pada tahap lebih tinggi berbanding pasukan lain di rantau ini.” ujar beliau.
Sehubungan itu, beberapa perubahan struktur termasuk penambahbaikan program latihan dan pembangunan pemain dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas Aidilfitri.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem hoki negara sekali gus memastikan Malaysia kembali muncul sebagai pencabar utama di pentas Asia Tenggara.