fb fb fb fb fb

Pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan kenderaan berat wajar disokong

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 JUN - Pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan pada kenderaan berat yang dirangka kerajaan wajar disokong sepenuhnya oleh semua pihak.

Ketua Latihan & Continuous Professional Development (CPD) MITRANS UiTM, Ir. Ts. Dr. Ahmad Khushairy Makhtar berkata, pelaksanaan itu sebagai langkah memperkukuh dasar keselamatan jalan raya dan sepatutnya telah dilaksanakan lebih awal.

Tambahnya, semakin laju sebuah kenderaan, semakin tinggi risiko kemalangan dan impaknya lebih besar.

“Jadi langkah kerajaan untuk mewajibkan speed limiter ini saya dah dengar lama dah sebelum ini lagi. Cuma dari segi penguatkuasaan, apa yang lebih penting daripada mewajibkan itu adalah juga penguatkuasaan dan juga pemantauan kepada speed limiter yang diwajibkan kepada syarikat-syarikat pengendali bas dan sebagainya”, Katanya.

Namun, menurut beliau juga, penghad kelajuan sahaja tidak memadai.

Antara cadangan yang turut diketengahkan termasuk penggunaan teknologi pemantauan seperti kamera pemuka (dash cam) secara masa nyata.

“Kalau tanya saya, itu memang tidak cukup tapi untuk langkah segera yang selain daripada speed limiter ini, saya rasa perlu diwajibkan especially kepada kenderaan berat, bas ataupun lori ini adalah teknologi dash cam. Teknologi pemantauan kepada pemandu itu sendiri secara real time. Dan ini boleh juga mengelakkan daripada seseorang pemandu itu daripada melebihi hard limit kerana dia tahu yang dia dipantau oleh majikan dia dan sebagainya. “

Beliau turut menyeru kerajaan agar meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna dan bukan hanya pengendali bas sahaja.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan berkata, kerajaan komited melindungi pengguna jalan raya, terutama daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab serta kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Antara dasar yang sedang dirangka termasuklah pelaksanaan wajib ‘Pengehad Kelajuan’ bagi kenderaan berat.

Polisi ini sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk menutup sebarang ruang manipulasi selepas ia dikuatkuasakan kelak.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN