KUALA LUMPUR, 4 November - Peningkatan had kelayakan subsidi petrol RON95 sehingga 800 liter sebulan bagi pemandu e-hailing aktif bawah Program BUDI MADANI 95 (BUDI95) bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan tersebut.
Persatuan dan pemain industri terlibat menyambut baik keputusan itu yang disifatkan selari dengan keperluan semasa industri.
Timbalan Pengerusi Gabungan E-hailing Malaysia, Mohd Sham Isa berkata pengumuman itu membuktikan kerajaan mendengar suara komuniti e-hailing.
"Ini menunjukkan yang kerajaan mendengar dan mengiktiraf sumbangan kami dalam menggerakkan ekonomi negara.
"Langkah ini berpaksikan semangat Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan," jelasnya.
Sementara itu, pemandu e-hailing yang ditemui menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu langkah tepat kerana bukan sahaja meringankan beban kewangan malah membantu mengekalkan kos operasi yang lebih rendah.
Ini susulan golongan berkenaan bergantung sepenuhnya kepada kos bahan api kenderaan sebagai sumber menjana pendapatan harian.
"Secara purata kos harian petrol yang saya gunakan sebanyak RM70 dan kalau seminggu sudah mencecah RM350.
"Dengan peningkatan had kelayakan ini, kami tidaklah rasa terbeban sangat," ujar Zulkifli Mohamad Rasid.
Aiman Zulhairi Rozi Izman pula menyifatkan langkah peningkatan had BUDI95 untuk pemandu e-hailing aktif memberi lebih banyak penjimatan buat mereka.
"Langkah ini lebih berbaloi dan menjimatkan untuk pemandu e-hailing. Saya berharap program subsidi ini dipanjangkan," katanya kepada RTM.