KUALA LUMPUR, 4 November - Perancis dan Mesir mempelawa Malaysia untuk menjadi penyelaras bersama dalam usaha pembangunan semula Gaza.
Dua negara yang terlibat dalam Deklarasi New York itu menyokong usaha penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelawaan tersebut diterima daripada rakan sejawatnya daripada kedua-dua negara berkenaan melalui pangggilan telefon.
“Jadi saya akan ke sana (Kaherah, Mesir) untuk kita pastikan supaya Malaysia dapat menyumbang, walaupun tidak banyak, menyumbang kepada pembinaan semula Gaza supaya keadaannya dapat dipulihkan walaupun bukan dalam kadar segera,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab celahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang mencadangkan diwujudkan dana khas dalam Belanjawan bagi tujuan pembinaan semula Gaza.
Difahamkan, satu persidangan khas bagi membincangkan pembinaan semula Gaza yang diketuai oleh Perancis dan Mesir itu akan berlangsung di Kaherah, Mesir pada hujung bulan ini.
Terdahulu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) pada 12 September lepas meluluskan satu resolusi menyokong Deklarasi New York, yang bertujuan mengiktiraf sebuah negara Palestin dan memajukan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.
Resolusi itu, yang secara rasmi bertajuk "Sokongan kepada Pengisytiharan New York mengenai Penyelesaian Damai Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara," diluluskan dengan 142 undi menyokong, 10 menentang dan 12 berkecuali.
Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia secara dasarnya sentiasa bersedia untuk menghantar pasukan tentera bagi menyertai pasukan pengaman ke Gaza, dengan syarat ia mestilah mendapat mandat dan pelawaan untuk melakukan perkara itu daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).