NABAWAN, 10 Jun- Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi penanaman semula kelapa sawit di seluruh negara menerusi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0).
Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, usaha itu bagi meningkatkan hasil dan pendapatan pekebun kecil sawit.
"Jika peruntukan ini habis dengan cepat, kita boleh membuat permohonan dari Kementerian Kewangan (MOF).
Maka, ini adalah antara sebab saya selalu nak buat jelajah di kawasan-kawasan pedalaman Sabah," kata Datuk Chan kepada pemberita, pada Isnin.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Pemantapan MSPO dan TSPKS 2.0, di sini.
Skim di bawah kendalian Agrobank itu menyasarkan lebih 1,500 pekebun kecil, melibatkan kawasan penanaman semula hampir 6,000 hektar.
Tambah Datuk Chan, kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menyediakan pelbagai bantuan sokongan ke arah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Antara lain termasuk yuran pensijilan, latihan Amalan Pertanian Baik (GAP), peralatan perlindungan diri serta rak simpanan bahan kimia.