TEMERLOH, 10 Jun - Sebanyak 75 buah rumah di Temerloh, Pahang rosak akibat dilanda ribut, pada Isnin, kira-kira pukul 6 petang.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, Taman Sri Kerinau paling banyak terjejas melibatkan 59 keluarga.
Menerusi satu kenyataan beliau berkata, kejadian itu turut melibatkan Kampung Pulau Terap, Taman Pamah Kasih, Taman Pulai Bistari, Kampung Tok Embun dan Kampung Batu 4 Jalan Maran.
Bagaimanapun katanya, "Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan setakat ini."
Beliau berkata, APM Temerloh sudah menjalankan pemantauan di lokasi terjejas, selain mengumpul maklumat untuk tindakan lanjut.
Pihaknya turut menyerahkan sumbangan kit makanan kepada penduduk yang terkesan sebagai langkah bantuan awal.