KUALA LUMPUR, 4 November - Jabatan Kerja Raya (JKR) melancarkan pelan strategik menerusi tiga sistem yang akan menjadi teras kepada hala tuju jabatan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ketiga-tiga sistem berkenaan ialah Pelan Strategik JKR 2026-2030, Sistem IM-Strategic dan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) JKR 2026-2030.
“Pelan ini menjadi panduan dan rujukan strategik setiap lima tahun bagi memperkukuh pengurusan, tingkah laku serta keberkesanan warga JKR,” kata beliau selepas Majlis Peluncuran tiga pelan tersebut di Kuala Lumpur.
Beliau berkata Sistem IM-Strategic berfungsi sebagai platform digital untuk memantau dan menilai pencapaian pengurusan strategik secara dalam talian.
Ia bagi memastikan pelaksanaan Pelan Strategik JKR dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berpandukan hala tuju yang jelas.
Sementara itu, Pelan OACP 2026–2030 pula diperbaharui dengan pendekatan
lebih holistik dan terperinci.
Selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 dan Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional.
Pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif tersebut dijangka memperkukuh kedudukan JKR sebagai agensi teknikal utama negara, sekali gus memperkasa tadbir urus dan integriti dalam penyampaian perkhidmatan awam.