fb fb fb fb fb

Pemusatan ASEAN angkat Malaysia sebagai pusat diplomasi, ekonomi bertaraf global

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 November - Konsep pemusatan ASEAN yang ditekankan oleh Malaysia memperlihatkan kemampuan negara untuk memainkan peranan sebagai penghubung antara pelbagai kuasa besar dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, konsep itu secara tidak langsung turut mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai pusat diplomasi dan ekonomi di peringkat global.

"Kemudian perjanjian persahabatan dan kerjasama ASEAN di Asia Tenggara yang memasukkan Algeria, Uruguay dan Finland. Pertama kali kita anjurkan ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan China. Ini menunjukkan sekali lagi kepusatan, sekali gus menjawab tohmahan tentang kita lebih kepada China atau Amerika syarikat. Itu yang kita pelopori," katanya. 

Tambah Datuk Seri Anwar, kemampuan itu sekali gus memperkukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang mengutamakan kerjasama pelbagai pihak, serta tidak terikat kepada satu kuasa besar sahaja.

"Dan kita gunakan juga melalui APEC dan ASEAN untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang sekarang ini sangat rendah, iaitu 22 peratus. Apa langkah yang dibuat sekarang, kita laksanakan sistem pembayaran melalui kod QR dan pemindahan wang.

"Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja, bermula dengan 5 negara yang melaksanakan dan dengan APEC, Alhamdulillah mereka iktiraf peranan Malaysia dalam sidang ASEAN," kata Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat.

MASNIZA AWANG KECHIK