KUALA LUMPUR, 4 November - Penerimaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN merupakan antara pencapaian utama Malaysia, khususnya dalam mengukuhkan kesepakatan dan kesepaduan dalam organisasi ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ia sebagai satu kejayaan besar kepada negara selaku Pengerusi ASEAN 2025.
"Bagi kita, penerimaan Timor-Leste itu satu kejayaan baik untuk negara atas ikhtiar Kementerian Luar dan penerimaan negara-negara lain. Tidak mudah sebenarnya, proses itu mengambil masa dan hujahan kita akhirnya diterima," katanya semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri juga berkata, Malaysia turut mencapai beberapa kejayaan penting yang memperlihatkan peranan aktif negara ke arah memperkukuh kerjasama serantau dalam pelbagai bidang.
Selaku Pengerusi, Malaysia telah memperkenalkan visi baharu ASEAN, iaitu ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, bertujuan membentuk masa depan bersama yang lebih mampan dan sejahtera bagi negara-negara di rantau ini dengan memberi penekanan kepada ekonomi, sosial dan politik yang inklusif.
Malah, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam memajukan Grid Tenaga ASEAN untuk memperbaiki sistem tenaga serantau, serta Perjanjian Kerangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) untuk mempercepatkan transformasi digital di rantau ASEAN.
"Program kerjasama rantau ini penting. Malaysia adalah negara dagang, jadi untuk ASEAN, untuk APEC dan kita tingkat juga RCEP (Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau) yang kita anggap penting.
"Inilah kali pertama kita hidupkan semula RCEP kerana ia akan memberi faedah dan keuntungan kepada Malaysia sebagai negara dagang dengan negara-negara yang berkenaan," kata Perdana Menteri yang berkongsi kejayaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.