fb fb fb fb fb

MOSTI laksana kajian menyeluruh Akta STI baharu

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November – Kajian secara menyeluruh penggubalan Akta Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang baharu sedang dilaksanakan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata langkah itu bagi memperkukuh ekosistem STI negara agar lebih mampan dan kalis masa hadapan.

“Kerajaan amat komited untuk memacu agenda sains, teknologi dan inovasi (STI) negara. Proses kajian penggubalan Akta STI yang baharu adalah rumit kerana ia memerlukan penelitian daripada pelbagai aspek,” kata beliau ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Chang, antara aspek utama yang sedang diperhalusi dalam kajian tersebut termasuk kajian perbandingan antarabangsa, keharmonian perundangan, implikasi jangka panjang terhadap kerajaan, serta sesi libat urus menyeluruh bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Kajian perbandingan sedang dijalankan terhadap kerangka perundangan STI di negara-negara maju dan serantau bagi mengenal pasti amalan terbaik yang sesuai diterapkan di Malaysia.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ