KUALA LUMPUR, 4 November - Sebanyak RM2.5 bilion penjimatan diperoleh kerajaan menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 bawah Program BUDI MADANI 95 (BUDI95).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penjimatan itu dinikmati hasil penstrukturan semula subsidi bagi mengurangkan ketirisan dan penyeludupan, tanpa membebankan rakyat.
"Kita lihat penyasaran subsidi ini secara keseluruhan. Dari diesel, RM5 bilion kita selamatkan. RM5 bilion itu kerana dalam sistem lama, terlalu banyak penyeludupan. Dari elektrik, RM6 bilion. Dari ayam menerusi langkah pengapungan harga, RM1 bilion. Dari telur, RM1 bilion.
"Pada pendapat saya, ini sudah cukup bagi kerajaan supaya kita laksanakan dengan hati-hati, supaya tidak membebankan rakyat," kata Datuk Seri Anwar di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.