fb fb fb fb fb

BUDI95: Kelayakan pemandu e-hailing ditingkatkan, teksi lapangan terbang turut nikmati subsidi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi MQT di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR , 4 November - Kerajaan bersetuju meningkatkan kelayakan subsidi petrol RON95 bawah Program BUDI MADANI 95 (BUDI95) sehingga 800 liter sebulan bagi pemandu e-hailing aktif.

Ia merupakan penambahbaikan daripada kelayakan 600 liter sebulan yang diberikan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti keperluan harian pemandu e-hailing berdasarkan penggunaan sebenar yang memerlukan penggunaan petrol yang tinggi untuk menjana pendapatan.

"Saya nak umumkan, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan hak kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan. Maknanya 5,000 kilometer tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan," katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Tambah Perdana Menteri, teksi lapangan terbang turut layak menerima petrol RON95 bersubsidi bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Sehingga 31 Oktober lalu, lebih 13 juta rakyat Malaysia menerima manfaat pelaksanaan subsidi petrol RON95 bawah inisiatif BUDI95 melibatkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan mencecah RM800 juta.

MASNIZA AWANG KECHIK