SHANGHAI, 4 November- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadakan lawatan kerja ke China selama empat hari bermula 4 hingga 7 November.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid akan diiringi oleh pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan, serta wakil daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
“Ini merupakan lawatan pertama beliau ke China pada 2025 dan membuktikan komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor kedua-dua negara, sejak hubungan dua hala Malaysia-China dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013, “ demikian menurut kenyataan tersebut.
Semasa lawatan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025.
Beliau juga akan bertemu dengan pemegang taruh berkepentingan dalam sektor halal China dalam usaha memperkasa kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global dan membuka peluang pasaran baharu seantero dunia.
Pada 2024, China merupakan destinasi eksport kedua Halal Malaysia dengan jumlah nilai eksport sebanyak RM7.04 bilion.
Delegasi Malaysia juga dijadual terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi, mengenai pengukuhan kerjasama dua hala, dengan penekanan khusus kepada sektor utama seperti industri halal dan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Ketika lawatan tersebut, Timbalan Perdana Menteri juga dijadual menghadiri majlis pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (China International Import Expo - CIIE) ke-8.
Ini termasuk merasmikan Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia – ACCCIM).
“Timbalan Perdana Menteri juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat Malaysia dengan China dalam bidang industri halal, perdagangan dan pelaburan.
Untuk rekod, Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974.
China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar untuk 16 tahun berturut-turut sejak dari 2009.
Nilai dagangan antara Malaysia dan RRC adalah RM484.12 bilion pada tahun 2024, yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia RM2.879 trilion.